Isnin, 26 Mac 2012

SEUNTAI KASIH SECEBIS HARAPAN - GURINDAM PELAJAR

Jika anda jadi pelajar,
Jangan malas hendak belajar.

Jika anda menuntut ilmu,
Jangan sekali berasa jemu.

Jika rajin mengulangkaji,
Mudah jawab apa diuji.

Jika anda hendak berlatih,
Mesti tahan penat letih.

Jangan asyik berangan-angan,
Tekun gigih jadi pegangan.

Jika berusaha sambil lewa,
Tidak hairan kalau kecewa.

Jika belajar tidak jemu,
Banyak ilmu akan ditemu.

Apa gunanya banyak bercakap,
Jika kerja tidak cekap.

Jika suka ponteng sekolah,
Ilmu tidak dapat tentu rugilah.

Berusaha dengan bersungguh-sungguh,
Jangan suka tangguh-tangguh.

Jika tak mahu dengar nasihat,
Apabila besar jadi jahat.

Jika tulisan terang dan bersih,
Hati pemeriksa sayang dan kasih.

Banyak membaca fikiran kaya,
Rajin berusaha pasti berjaya.

Jika tulisan tidak boleh dibaca,
Mata pemeriksa akan berkaca.

Masa itu emas dan wang,
Walaupun sedikit jangan dibuang.

Jangan nanti esok lusa,
Tidak hairan datang celaka.

Jika rajin membaca buku,
Otak cerdas tidak beku.

Jangan mudah putus asa,
Semua harapan hancur binasa.

Jika anda bekerja kuat,
 Banyak perkara boleh buat.

Budi bahasa amat berharga,
Tingkah laku wajib dijaga.

Sudah tahu belajar lagi,
Banyak untung tiada rugi.

MAS ADEKI ( 15 OGOS 1992)






1 ulasan:

  1. Gurindam ini memberi satu hiburan kepada pelajar tetapi banyak mesej yang disampaikan. Harapan semoga pelajar dapat memahami mesej yang disampaikan.---Pn. Asmah

    BalasPadam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...